Moga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi..

Showing posts with label Travelog Turki. Show all posts
Showing posts with label Travelog Turki. Show all posts

Tuesday, March 4, 2014

Travelog Turki#19: Saya dari Malaysia

7 Julai 2011...
Seperti biasa, permulaan pertemuan pasti dimulakan dengan sesi pengenalan. Cikgu Havier mengajar beberapa ayat mudah untuk diaplikasikan dalam sesi pengenalan pada hari pertama sesi pembelajaran. Proses mengikat hati terhadap rakan sekelas dan mengikat jiwa terhadap ilmu dititikberatkan oleh guru kami. Cikgu Havier menggunakan dialog yang sama di antara perbualan guru dan kami semua.
     Bermula dengan guru dan semua pelajarnya, kemudian antara pelajar dan pelajar yang lain. Yang menariknya, sesi itu dilangsungkan hingga hampir berakhir sesi pembelajaran minggu pertama. Hingga kemesraan mula timbul melalui kaedah ini, ditambah pula dialog-dialog ringkas yang boleh digunakan saban hari.
     Setiap kali Isnin tiba pula, guru Havier akan melakukan sesi perbulaan bersama kami tentang perkara yang kami lakukan pada hujung minggu. Setiap seorang daripada kami akan bercerita perihal aktiviti hujung minggu masing-masing. Selain menggalakkan para pelajarnya menguasai bahasa ibundanya melalui pertuturan, sesi itu turut membuka ruang ilmu baru akan perkongsian tentang pengalaman-pengalaman yang digarap daripada kisah diantara pelajar.
Merhaba (Hai!)
Merhaba (Hai!)
Benım adım Javier. Sizin adınız ne? (Nama saya Havier. Siapa nama kamu?)
Benım adım Mar Nilam. Memnun oldum. (Nama saya Mar Nilam. Gembira bertemu kamu)
Ben de memnun oldum. Nasilsiniz? ( Saya juga gembira bertemu dengan kamu. Apa khabar?)
İyiyim, teşekkür ederim. Siz nasilsiniz?(Baik, terima kasih. Kamu apa khabar?)
Ben de iyiyim, teşekkür. Nereden gelıyorusunuz?( Saya juga baik, terima kasih. Kamu datang dari mana?)
Ben Malezıyadan geliyorum. Sen nereden geliyorusunuz?( Saya datang dari Malaysia. Kamu datang dari mana?)
Ben Ukraıynedan geliyorum. Hoşcakal. ( Saya datang dari Ukraine. Bye-bye.)

Güle güle. (Bye-bye).

Monday, March 3, 2014

Travelog Turki#18: Kelas 405


7 Julai 2011…
PENSIL ARANG
            Pagi itu aku menguruskan borang pendaftaran di pejabat Kementerian Pelajaran di bandar Cağaloğlu.Alhamdulilah segala urusan biasasiswa selesai.Pagi tak beransur lagi, aku singgah ke Baturay Kırtasiye (alat tulis Baturay) di Jalan 30/3 Cağaloğlu. Aku membeli 2 buah buku nota serta sebuah buku lukisan mini.Kesemuanya berharga 10TL sahaja termasuk sebatang pen hitam.
            Dalam menanti sang mentari tegak dikepalaku, aku duduk di kerusi di antara Masjid Biru dan Haghia Sofia, memulakan lukisanku yang pertama. Melukis denan pensil arang, hadiah dari sang sahabat. Ia berkisar tentang seorang ayah yang sedang menyuapkan anaknya makanan tanpa ibunya di sisi mereka.Tetarik dengan gelagat ayah tersebut yang tidak kekok membawa watak seorang ibu pada anak sekitar 1 tahun begitu.Leka aku menari narikan pensil arang. Pertama kali mengunakannya kaedah seni ini. Mencuba sesuatu yang berbeza meraikan sebuah rahmat untuk dikongsikan dengan yang lain, Selain menggunakan mesin hitam kamera.
KELAS 405
 Namaku tersenarai di papan kenyataan sebagai seorang pelajar kelas 405.Cukup tinggi, 5 tingkat termasuk ground floornya.Tiba sahaja di kelas, aku diperhatikan oleh mata-mata dari susuk tubuh orang Barat. Terasa amat asing. Kebiasaan suasana baru. Tapi masih ada sesuatu yang lain, hingga mata itu terlihat begitu sekali.
Pengenalan demi pengenalan diri dipersembahkan.Lalu, aku mendapat tahu mereka datang dari pelbagai sudut dunia. Tanah Eropah, Rusia serta Arab.Dalam kalangan kami ada 5 orang muslim termasuklah Ibrahim,Muhyieddin dan Osama datang dari Lubnan, manakala Amina dan Samiya dari Algeria.
Proses pentarbiyahanku semakin terasa. Mulanya aku merasa amat kerdil, tegar memakai tudung sendirian. Barangkali itu yang dimaksudkan oleh pandangan mata tadi?, mereka buat aku rasa sedikit gundah.Tetapi,semakin aku kaut ruang keselesaan, semakin aku merasakan kehadiran roh pendokong Islam dari kalangan mata mereka. Ianya datang dari 2 orang anak muda Lubnan itu.Mereka berdua punya akhlak yang bagus dari awal persembahan diri mereka.
Aku tidak berdiri sendiri, punya mereka yang muslim mendokong sama agama yang suci ini. Mereka anugerah dari Allah buat aku, betapa aku belum mampu berdiri sendiri. Lalu didatangkan mereka sebagai teman perjuangan. Alhamdulillah kelegaanku beransur datang, kekuatan berjemaah ini anugerah Tuhan, agar aku istiqamah dengan ketegaran ini.
”Ya Allah berikanku kekuatan mempelajari bahasa bumi Al-Fateh ini dan kekuatan untukku tegak berdiri mempratikkan keislamanku di mana sahaja”,  hatiku memohon.Sesi taaruf dimulakan terlebih dahulu, seterusnya pengenalan huruf-huruf Turki dan beberapa ayat-ayat yang ringkas.


"My Lord show me right from wrong
Give me light make me strong
I know the road is long
Make me strong
Sometimes it just gets too much
I feel that I've lost touch
I know the road is long, Make me strong” 

 ( Sami Yusuf )

Saturday, March 1, 2014

Travelog Turki#17: Hari Pertama di Medan Pengajian

5 Julai 2011…
TIDAK TAHU
            Hari pertama aku menampilkan diri ke medan pengajian di bumi Turki ini. Dua rakan kelas yang pertamaku kenali adalah Ibrahim, seorang pelajar dari Malaysia juga seperti aku, dan seorang gadis dari Itali, Iza namanya. Hanya kami bertiga sahaja petang itu. Kami perlu menduduki ujian pertama bagi menentukan kedudukan kami di peringkat atau kelas yang mana. Berbaris kami duduk, menghadap kertas di atas meja. Dan lebih gerun lagi, menghadap seorang guru berbahasa Turki. Dia sesekali memandang kami yang lambat aksi penanya. Masa pula terasa lama berlalu. Bleh dikatakan 100% tidak kuketahui apakah makna keseluruhan soalan. Buta huruf, buta sebutan, dan buta makna.
”Apa yang perlu aku jawab ni?”, aku resah.
            Sepanjang di Turki tika itu, aku cuma tahu”teşekkür ederim”(terima kasih),”birşey değil”(sama-sama) dan dua atau tiga perkataan yang lain. Boleh sahaja aku menebak jawapan objektif itu, tetapi pasti tidak untuk soalan yang berbentuk subjektif. Kejujuran itu persoalan yang sebenarnya bagi semua peperiksaan.Walaupun kosa kata milik Ibrahim lebih baik dariku, dia turut tidak meneruskan ujian.Aku tahu, harus aku malu dengan kondisi itu. Memikirnya beberapa kali, dipujuk hati ini. Lalu perihal ‘tidak tahu’ mengambil ruang fikir dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman. Mengapa perlu aku malu untuk mengatakan”tidak tahu”,  ia adalah suatu  adab dalam pergaulan ilmu.
Imam Al Mawardi menyebutkan:”Jika tidak memungkinkan mendapat kesempatan untuk menguasai seluruh ilmu, maka jahil terhadap beberapa masalah bukan merupakan suatu aib. Jika demikian maka janganlah engkau malu mengatakan,“aku tidak tahu“, menyangkut hal-hal yang engkau tidak tahu“.

BAHASA TURKI SAHAJA
            Sebelum sesi ujian berlangsung, sesi pengenalan dilaksanakan antara kami bertiga dengan guru. Guru yang kelihatannya tegas itu bertutur dalam bahasa Turki. Bahasa Turkki sahaja. Mengapa tidak berbahasa Inggeris? Aku tidak pandai membalas, Ibrahim yang banyak membantu. Adalah menjadi polisi di TÖMER (nama badan penganjur kursus bahasa Turki di bawah kelolaan Universiti Ankara) untuk tidak berbahasa selain dari bahasa Turki.
Para guru hanya menggunakan bahasa tubuh badan untuk menerangkan sesuatu, jika para pelajar tidak dapat menangkap maksud yang dilontarkan oleh gurunya.Itulah kaedah yang sangat efektif bagi TÖMER, agar para pelajar menguasai pembelajaran bahasa itu dengan sebaik dan secepat mungkin. Benarnya, penguasaan sesuatu bahasa itu lebih pantas dengan melibatkan diri dalam proses pertuturan. Perbualan bersam mereka yang juga dalam proses mempelajari bahasa itu atau mereka yang memang fasih berbahasa dengan bahasa itu.       
            Apatah lagi, pelajar itu terjun ke dalam daerah di mana bahasa itu digunakan disegenap masa, ruang dan luang. Di situ bahasa yang dipelajari diangkat sebagai bahasa utama. Daerah yang menyokong dan membantu penguasaan bahasa di mana diwajibkan keperluannya kepada kehidupan di daerah itu. Bukan sahaja bahasa bakunya dipertingkat kualitinya malah ditambah dengan bahasa ‘pasar’ rakyatnya. 
            Maka berangkatlah teman-teman ke Turki, bagi bahasa Turki, Berangkat ke Magribi bagi bahasa baku Arab, Berangkat ke Jepun, Korea dan banyak lagi. Kondisi sesebuah komuniti sangat mempengaruhi persembahan tutur kata kita, dan ia sejajar dengan aplikasi apakah dan keadaan apakah  ahasa harus dibudi bicarakan, dan bahasa harus dilenggokkan kesopannannya.

Kelas yang sepatutnya bermula jam 2.30 petang dan berakhir 6.30 petang itu berakhir awal.Sesi pembelajaran rasmi seperti kuliah  belum dimulakan lagi. Barangkali selepas sahaja mengetahui kedudukan aku di kelas yang mana esok, hasil daripada ujian tadi.

Friday, February 28, 2014

Travelog Turki#16: Pertembungan Aroma Rempah

4 Julai 2011..
MASJID YENI (1957)
            Aku mengisi waktu petang yang panjang hingga lewat jam 8.30 malam itu aku berjalan di sekitar Eminönü bersama kamera Nikon D70 ku. Kembali dari Gebze selepas mengiringi sahabatku dengan pandangan mata ini ke tanah Bursa di sana. Hati masih lemah, merintih kekuatan dari Allah dalam derapan-derapan kaki yang baru bertatih sendiri ini. Sendiri, sepi menghimpit.
            Aku melihat gahnya Masjid Yeni (1957) (Yeni Camii) bersama jirannya Misir Carsisi (1597) atau Bazar Rempah (Eygptian/Spice Bazar). Masjid ini antara masjid yang terkenal dengan keindahannya, di dalamnya ada air terjun yang anggun menghiasi halaman masjid untuk para tetamu Allah berwuduk. Manakala pondok sultan dihiasi dengan jubin yang mengkagumkan dari Iznik.
            Batu-batunya didatangkan dari Pulau Rhodes. Kombinasi batu-btu ini menggamit ketenangan beribadah di dalamnya. Awalnya ia dibina buat isteri Sultan Murad lll iaitu Safiye Sultan.  Ia disiapkan dalam masa 66 tahun oleh 3 arkitek bersilih ganti, kerana kematian Sultan Muda Selim lll dan SultanahSefiye dan wabak epidemik telah tersebar di seluruh Istanbul pada awal pembinaanya. Fakta menarik ini mendorong aku untuk menderapkan kaki menziarahi ketenangan rohaninya pula. Menunaikan solat sebentar, permulaan buat pengembaraanku di tanah Eropah ini sendirian. Itulah hari pertamanya.
SPICE BAZAR
            Melewati kawasan Eminönü, jangan hairan jika aroma rempah menyeruak udara di situ. Aroma itu dari Bazar Rempah yang dibuka mulai jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang pada setiap hari kecuali Ahad. Berjalan di lorong bazar kedua tertua di Istanbul ini seperti melewati silamnya dunia Uthmaniyyah. Senibina dan suasananya begitu membenarkan rasa silam itu. Sejak tahun 1597, bazar ini dipenuhi oleh penjaja rempah. Aroma rempah seperti safron, lada, dan pala, serta warna pasta tomato, kekacang, bijirin-bijirin dan herba-herba bersatu memikat para hadirin hadir menyesakkan bazar itu dari seluruh pelosok dunia.
             Ianya menjadi kewajipan kepada pelancong untuk berkunjung ke sini. Mana tidaknya ianya sebaris dengan populariti Masjid Biru yang namanya tercatat pada setiap gerabak tram dalam bahasa Inggeris berbanding stesen hentian yang lain dan para pedagangnya juga fasih berbahasa Inggeris. Selain itu, buah-buahan kering seperti kurma, plum, kismis dan tin serta  pelbagai jenis teh turut didagangkan disitu. Sibuknya bau aroma-aroma menyorot rongga hidung, para pelancong boleh menyulami aroma itu dengan pelbagai manisan Turki di situ.
            Keluar sedikit ddari kotak bazar berbentuk ‘L’ ini, anda akan menemui lokasi jual beli yang lebih memeriahkan para pengunjung, yakni di balik dinding bazar, di sebelah kanan bazar. Bagi pengunjung yang biasa dengan proses jual beli bazar di Istanbul, pasti mereka mengerti bahawa harga di luar bazar jauh lebih memuaskan pada kadar kualiti dan kuantiti yang sama. Hal sebegini adalah perkara biasa. Dari bazar di luar ini, ia dipenuhi deretan kedai yang menghubungkan Masjid Suleyman dan Masjid Yeni, dan Grand Bazar dan Spice Bazar. Diantara keduanya temapt-tempat ini, wujudnya pasar rakyat kerana suasananya dan harga tempatan ditawarkan. Pelbagai keperluan boleh diperolehi secara borong pada jumlah yang berbeza bergantung kepada perbincangan bersama tuan kedai.
            Berbalik kepada sisi Spice Bazar, aku kerap berbelanja di Kedai Osmanoglu, kerana sebab tersebut dan kemeriahannya menawarkan pelbagai keperluan pengunjung dan pergerakan yang pantas melayani para pengunjung. Di kawasan bazar ini sahaja, sekitar 3 kedai mengemukakan nama yang sama, kerana pemilik juga sama. Boleh jadi atas sebab kesesakan pengunjung, maka tercetus idea untuk membuka kedai tambahan, barangkali juga bakal bertambah lagi berdasarkan tidak menangnya tangan memberi layanan kepada pengunjung.
            Majoriti barang dagangan dijual secara hamparan di kaki-kaki kedai, sama ada di dalam dulang, botol atau bekas-bekas kayu atau plastik berbentuk empat segi. Disusun dengan kemas pada ketinggian yang sama atau bertingkat-tingkat seperti tangga. Bazar ini bukti pertembungan budaya. Siapakah yang berkuasa ke atas pertembungan itu? Siapakah yang mengaturkannya? Pertembungan manusia antara benua tidak berakhir pada zaman Uthmaniyyah, buktinya hingga kini bangunan itu masih menemukan aku dan penduduk dunia yang lain.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”  
(Surah Ar-Rum: 22)    

Travelog Turki#15: Kata-kata Cinta dari Langit

1 Julai 2011…
            Kami berdua tidur di dalam rumah nenek Tekke. Nenek Tekke tiada di Gebze, nenek ke Trabzon. Berbudi kepada tanah dengan mengutip hasilnya di ladang milik keluarga ini, kacang hazel. Pagi yang indah. Kak Ummu seperti biasa, memberi sarapan kepada hatinya. Dia tenggelam bersama kitab terjemahan Al Quran miliknya. Tak lengkap permusafiran tanpa”Surat Cinta dari Langit”. Tak keruan tanpanya.
                                                                                      
            ”SubhanAllah, nilam dengar ni!”panggil Kak Ummu menerjah keasyikanku dalam penulisan travelogku.

“Itulah (karunia) yang diberitahukan Allah untuk hambaNya yang beriman dan mengerjakan kebajikan. Ka-takanlah (Muhammad),”Aku tidak meminta kepadamu sesuatu imbalan pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan”. Dan barangsiapa mengerjakan Kebaikan akan Kami tambahkan kebaikan baginya. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Mensyukuri.”                                                                                             
(Surah Asy-Syura: 23)

            “Kemudian,” sambung Kak Ummu.
“Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka putus asa dan menyebarkan rahmatNya. Dan Dialah Maha Pelindung, Maha Terpuji”         
(Surah Asy-Syura: 28)

            “Last sekali..”Kak Ummu menambah lagi.

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya adalah penciptaan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata yang Dia sebarkan pada keduanya. Dan Dia Maha Kuasa mengumpulkan semuanya apabila Dia kehendaki”                                 
(Surah Asy-Syura: 29)
            
“Dengan Allah, Dia pertemukan kita dari nun jauh di tanah Timur dengan makhlukNya yang suci di sini…..”, Kak Ummu menerangkan ayat demi ayat dari Surah Asy-Syura tersebut dengan keterujaannya.  Dari persoalan persaudaraan bagaikan sebuah keluarga ini, nikmat hujan dan tragedi yang kami lalui semalam dihubung kaitkan dengan kemas sekali.

Benar Kak Ummu, giliran ayat itu hari ini begitu bertepatan sekali dengan apa yang terjadi kepada kita semalam dan hari ini. Maha Suci Engkau ya Tuhan. Tuhanku, Engkau telah takdirkan pembacaan itu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala ini untuk keperluanku akan kasih sayangMu. Tiada dayaku tanpa kasihMu. Tiada rohani pengembaraanku tanpa sayangMu.
-Travelog Turki.

Travelog Turki#14: Keluarga Tekke


31 Jun 2011…
            Seharusnya aku merasa agak asing di dalam sebuah rumah warga Turki. Kerana budaya yang sememangnya berbeza. Tetapi tidak dalam keluarga ini. Cepat benar kemesraan menguasai suasana. Kehadiran kami dimeriahkan lagi dengan hadirnya ahli keluarga Tekke yang lain. Makcik dan pakcik dari kalangan keluarga Tekke.Terharu dengan layanan keluarga ini.Sampai sahaja, kami dijamu makan malam. Masakan dari air tangan tangan seorang ibu. Makcik Aisyah namanya. Walaupun aku tidak tahu berbahasa Turki secara lisan, dalam hati ini moga faham jua apa yang ibu ini maksudkan serba sedikit.Kadang kala Bro Mus mencelah perbualan kami. Dia menterjemahkan maksud ibunya.
            Gerak geri seorang ibu kepada seorang anak yang tidak mengerti bicara bibirnya, pasti memahami perlahan-lahan maksud dari hatinya. Seorang ibu, tak pernah letih membantu kita untuk faham tiap satu perkara.
            ”Dengar dengan jiwa”, teringat aku akan ungkapan Kak Ummu itu.
            “Kizim!...”.
            “Kizim!...” (Anak perempuanku).
            Ibu ini membahasakan kami begini dengan lembut sekali. AllahuAkbar, indahnya budi bahasa Turki. Punya tatabahasa ‘pemilikan’ yang hebat. Ibu ini tidak punya anak perempuan. Ketiga-tiga anaknya adalah lelaki. Terasa seperti anaknya sendiri pula. Bayangkan dengan tatabahasa ini, seorang ayah memarahi anaknya. Pasti penuh kasih sayang bunyinya jika diterjemahkan kepada bahasa kita.
            “ANAKKU! Adalah lebih baik kamu perbaiki tutur kata kamu..”
            “ANAKKU! Rajinkan dirimu bantu ayah di kebun…”
            Dalam ketegasan ada kelembutan, apa lagi dalam kelembutan itu ada kelembutan lagi. Penumpuan terus padu oleh orang yang dipanggil kepada pemanggil. Terus terpujuk dalam tegas itu, terus terpesona akan kasih dalam kelembutan. Anak-anak memanggil ibunya,  “IBUKU…”,  teman-teman memanggil, “SAHABATKU..” dan lain-lain panggilan yang lembut juga. 
HUJAN
            Di celah-celah kegembiraan kami menjalin silaturahim, Allah sulamkan dengan hujan renyai. SubhanAllah, langit musim panas ini mengeluarkan hujan.RahmatTuhan yang tidak disangka-sangka. Bau hujan menyelinap segenap ruang, mengetuk pintu rindu buat tanah air.
”Hujan!”, kata Bro Mus.
“Benarkah?”, soal ibu Tekke, lalu mendekatkan dirinya ke arah tingkap.
“Musim panas begini, jarang sekali hujan turun. Ini kali kedua hujan turun, pada musim kali ini”, terus ibunya berbicara lagi.
“…kamu bawa hujan dari Malaysia ni. SubhanAllah”, kata Bro Mus menyulam bicara ibunya.
            Dia faham benar cuaca di Malaysia, kerana dia baru sahaja tamat pengajiannya di Universiti Malaya tahun lalu. Di sini, pada musim panas, sekali dua sahaja hujan pada kebiasaannya, dan tidak pula mereka menyangka di tengah musim panas ini turunnya hujan.Hujan mengiringi sesi pertemuan malam tersebut. Maha Suci Tuhan. Sepertinya Allah memberi hadiah kepada kami berdua, atas kesabaran mengharungi ujiannya.
Daku terharu dengan kasih sayangMu Tuhan. Segala pujian adalah untukMu. Kau melindungi perjalanan dan permusafiran kami sentiasa, begitu juga kasih sayang keluarga Tekke ini kepada kami.Supper hati sebelum tidur malam itu dengan perkongsian ilmu pondok dari.Kerohanian yang berterusan.Amiin.

"Tiap desa menjadi dekat oleh persaudaraan
tiap kota menjadi rapat oleh persahabatan
tiap jiwa menjadi akrab oleh persefahaman."
(Imlan Adabi)

Thursday, February 13, 2014

Travelog Turki#13 : Makcik Comel dan Tasbih Coklatnya

31 Jun 2011…
            Kami perlu bertemu Mustafa Tekke (Bro Mus), kenalan kepada salah seorang ahli keluarga Kak Ummu. Dia akan membantu Kak Ummu, ke tanah Bursa untuk urusan pengajian bahasa Inggerisnya. Kami bersetuju menziarahi keluarga Tekke dalam tujuan yang sama. Maka aku turut serta. Dan ini kali kedua Kak Ummu menziarahi keluarga ini, pada kedatangannya ke Turki pada kali pertama dahulu. Keluarga ini menganggap teman ini sebagai anaknya sendiri. Bagi aku pula, ini pertama kali aku menziarahi keluarga Turki. Alhamdulillah segalanya Allah susun dengan kemas sekali, Bro Mus banyak membantu sepanjang perjalanan kami di bumi Turki.
            Sebelum kami menghampiri Hydarpaşa untuk ke Gebze, kami dibantu oleh seorang guru yang segak berkot. Cuma kelihatan sedikit kelemumur bertaburan di bahunya dan wajah yang kurang kemas persembahannya. Dia mengiringi perjalanan kami dari Otogar (stesen bas) ke Eminönü. Pengalaman baru, takut sesat maka kami turutkan. Memupuk kepercayaan kepada lelaki ini. Dengan bahasa pertuturan bak ayam dan itik, Kak Ummu yang lebih tahu bahasa Turki tidak sedap hati. Kerana guru ini sering menanyakan kami perihal duit.Aku juga merasakan ada yang tidak kena.
Tiba di Eminönü guru itu meminta wang untuk membeli tiket feri, 25TL.Keadaan yang sangat sibuk di situ menjadi alasan padanya untuk mewakili kami membeli tiket.
”Nilam, jangan!”, tegah Kak Ummu.
“Akak tengok dari kaunter tu harganya 1.75 TL je”.
”Ke kita akan naik feri lain, kita beri je ya kak”, jawabku.
Aku rimas dengan ragam guru itu yang agak mendesak. Kami beri sahaja wang itu, walhal hati semakin membungkam tidak setuju. Aku memerhatikan gerak geri berlalu dari kami. Melihat akan dia bergesa-gesa melarikan diri jauh dari kami.
”Kak kita kena tipu”, kata aku dihimpit sedih.
”Itulah, akak pun tak sedap hati tadi, sejak dalambas lagi. Takpe lah, rezeki untuk dia, Allah akan gantikan dengan yang lain…”.
Aku sedih ditipu oleh seorang”guru”yang barangkalibukan. Besar nilainya 25TL tu lebih kurang RM50. Aku tidak sepatutnya mengatakan persetujuan waktu itu.Penyesalan tertambat.
”Maaf Kak Ummu, salah aku”, hatiku merasa salah.
Kami meneruskan perjalanan menaiki feri ke Hydarpaşa. Belajar membeli tiket feri sendiri. Senyap dalam dakapan ombak pujukan Allah. Tiba di stesen keretapi, khuathir keretapi akan tamatkan perkhidmatan menjelang malam, kami bergerak sedikit pantas.Menuju ke kauter dan pantas sahaja urusan tiket selesai. Bicaranya dalam bahasa Inggeris.
Termengah-mengah tanpa kata. Banyak mata menatap wajah kami. Kami faham, kami agak asing pada pandangan mereka, atau mereka menatap riak wajah kami yang tercungap-cungap. Keretapi menuju ke Gebze bakal bergerak dalam kira-kira 5 minit sahaja, masakan berjalan sahaja. Dengan tidak ada apa pengalaman lagi di stesen ini. Alhamdulillahsempat. Terima kasih ya Allah. Kelajuan nafas aku jadi surut. Kembali normal.
Aku duduk di sebelahseorang mak cik yang agak gempal tubuhnya.Melihat aksinya begitu menenangkan aku yang masih belum surut rasa sedihnya. Dia melakukan solat Maghrib dan beberapa solat sunat secara duduk. Allah, tenang sekali perbuatan solatnya. Tertib. Tangannya pula dari awal tidak terlepas dari mengulas lembut butir-butir tasbih berwarna coklat.Dalam masa yang sama, hati turut jadi tenang. Terpujuk dengan lebih kemas.
Mataku melilau menyaksikan keadaan gerabak yang semakin dipenuhi penumpang stesen demi sstesen.Sempat aku mengimbau cabaran perjalanan 3 hari yang telahku tempuh. Menggarap didikan dari Tuhan melalui orang lain buatku.Terima kasih mak cik, walaupun kita tidak berbual, reaksimu sudah cukup mengajarku erti kembali kepada Tuhan atas segala yang terjadi.


“…ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram”
(Surah Ar-Ra’ad: 28)

Monday, March 18, 2013

Travelog Turki#12: Doa-doa Ringkas


DOA-DOA WARGA TURKI
30 Jun 2011..
            Jam menghampiri 12 malam. Para tetamu Masjid Biru memulskan langkah beredar. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada para tetamu yang menyapa kami tidak jemu. Mereka membalas ucapan kami dengan doa-doa ringkas. Aku jadi kelu itu seperkara, kerna tidak memahami bahasa mereka. Tetapi halnya, bicara mereka itu seperti beberapa untaian doa. Beberapa kalimah ‘Allah’ terdengar di pertengahan bicara, bagaikan doa. Ia ianya doa. Terlalu banyak bicara sebegitu, hingga aku jadi faham bahawa mereka memanjatkan doa buat aku dan teman. Begitu juga buat mereka yang lain sesama mereka.
Menjadi budaya di sini? Hari demi hari, iya pengucapan doa itu budaya mereka. Doa-doa ringkas yang mengharukan hati-hati tiap kali bertemu, bersalaman atau menamatkan pertemuan.Mereka sentiasa dipenuhi dengan kebahagiaandan kesihatan yang baik sepanjang hari kerana keberkatan doa-doa dari hati yang lain.Doa dipanjatkan tanpa syarat. Syarat hubungan darah, kaum dan bangsa itu ditolak tepi. Soalnya persaudaraan sesame islam, harus saling mendoakan keranaNya.
Baik ketika meninggalkan seseorang, ucapan pada kebiasaannya adalah seperti”Allah Razı Olsun”(Moga Allah Berkatimu).Manakala apabila seeorang telah tamat berdoa, ucapan”Allah Kabul etsin”(Moga Allah Mengabuli Doamu)pula, selalu disampaikan. Bagi  ucapan, “Allah Kolaylık Versin”(Moga Allah Berikan Kemudahan kepada kamu), ia adalah doa kepada seseorang agar diberikan kemudahan.Sebagai contoh, aku bertemu sedang menuju ke sesuatu destinasi, di sepanjang perjalanan bertemu beberapa orang yang sedang menyapu sampah, mengangkat barang, membersihkan cermin kedai, mengilat kasut dan sebagainya, maka aku boleh mengucapakn ucapan sedemikan tersebut. Boleh jadi sebahagian mereka akan mengembalikan ucapan yang sama, menghadiahkan doa yang lain atau membalasnya dengan berterima kasih atas ucapan tersebut.
Sebagai tanda penghargaan kepada seseorang yang memasakkan sesuatu makananpula,”Eline Sağlık”(Tangan Kamu Membawa Kesihatan) diucapkan. Manakala ucapan buat seseorang yang memberikan hadiah atau melakukan kebaikan kepada kita,”Kesene Bereket Olsun”(Barakah Dalam Poket Kamu) selalu diucapkan. Allah Akbar, sungguh mulia milik hati yang sentiasa mendoakan. Inikan pula, ”Günaydın, Iyi Günler, Iyi Akşamlar dan Iyi Geceler” (Selamat Pagi, Hari yang baik-baik, Selamat Petang dan Selamat Malam), memang sentiasa bermain di bibir mereka.

DOA DARI DORMMATE
Di pertengahan pengajian bahasa Turki…
Asrama yang aku diami, dipenuhi oleh ramai pelajar yang mengulangi pelajaran atau melaksanakan pratikal walaupun tika itu cuti musim panas sedang berlangsung. Ada lima orang teman Turkish dari pelbagai universiti bersama aku dalam satu dorm.Ada di antara mereka berupaya berbahasa Inggeris dengan sangat baik, sedikit dan ada pula tidak langsung. Semua itu rona budi bahasa dalam perbualan. Dengan bahasa dari hati, insyaAllah segala bahasa apa pun, bakal difahami walaupun lewat tiba waktunya

“Aku bukan dari bidang bahasa, tetapi matematik”, selalu mejadi alasan aku yang lambat menyerap kombinasi-kompinasi ayat dalam bahasa Turki. Bahasa Inggeris sahaja aku ambil masa yang lama. Umurku kira-kira 22 tahun begitu, aku mula memahami rentak berbahasa Inggeris. Perkitaran itu begitu lama, kerana tidak ada minat berbahasa, dan subjek bahasa itu adalah subjek paling ‘membunuh’ dalam keseluruhan persembahan pelajaran aku di peringkat menegah dan rendah. Namun itu semua adalah peristiwa lalu, yang punya erti yang berat kini. Erti yang membina. Lallu aku sedaya upaya juga menepis segala alasan untuk berbahasa Turki juga.
Kerap kali aku menerima ucapan ini. Ucapan, ”iyi derslar”(moga pembelajaran yang baik-baik). Dari hati yang selalu berat ke kelas, lonjakan semangat terus menerpa.Anjakan paradigm. Boleh dikatakan begitu. Ucapan dari seorang saja sudah bawa aroma bunga dalam hati ini, apatah lagi semua teman dorm turut beri ucapan sebegitu. Berbunga-bunga hari-hari itu. Ucapan-ucapan doa, jadi tiupan semangat.


“HATI-HATI”
Di pertengahan 2010…
“Kak, bawa pelan-pelan ya.”, kata aku dari belakang.
Tunggangan tidak kurang pun lajunya. Ngeri. Trauma dari kemalangan yang lalu. Berderau rasanya. Penakut pun iya.
“Awak ni, cakaplah “hati-hati”, kanlebih baik”, jawab dia.
“Akak pernah baca satu kisah dalam majalah Solusi, dua orang anak memanjat satu pokok. Emak mereka dari bukaan tingkap menjerit kepada anaknya, “pelan-pelan nanti jatuh”. Seorang lagi anaknya menyambut kata ayahnya, “hati-hati”. Anak yang dijerit oleh emaknya yang jatuh.”
Aku senyap. Hanyut dalam kelajuan tunggangan yang sama juga.
“Kerana anak pertama terlalu memikirkan soal “jatuh”, hingga jatuh benar dia. Manakala anak kedua itu memikirkan soal “hati-hati”. Sesebuah ucapan itu sesungguhnya memainkan peranan yang besar dan punya pengaruh yang besar.”
.Benar kata-kata itu. Hingga kini, nasihat itu aku suka. Pengajaran sampingan dari madarasah UTM. “Hati-hati” jadi ingatan kepada penunggang atau pemandu. Sekecil apa pun ucapan dari seseorang itu, boleh jadi pemangkin kepada sesuatu. Ini keesadaran, bahawa mereka sedang memandu mahupun menunggang. Kelembutan Melayu dalam budi bahasanya, banyak perkataan yang terkait dengan “Hati”.
Doa untukmu dariku, doaku untukmu jua, moga hatimu sejahtera, begitu juga hatiku.

TIDAK MENSIA-SIAKAN DOA


Sekitar tahun 2008…           

Aku mengimbau beberapa pengajaran berharga sekitar tahun itu. Suatu ketika, aku duduk di dalam bas menuju ke kolej kediaman UTM Kuala Lumpur. Perjalanan dari kampus, usai sahaja tamat kuliah. Aku mendengar perbualan rakan kuliah, hampir-hampir lupa bagaimana perbualannya. Namun isinya itu yang mahu ku kongsikan.


“….macam mana persedian kau untuk examni”, kata Bulu di pertengahan perbualan mereka sambil berdiri.


Terhuyung hayang dalam bas yang penuh.


“…seperti biasa, cuma perlu masa lagi”, jawab Airil.


“…engkau boleh tu. Kita ini selalu meminta orang lain mendoakan kita untuk exam, tapi sejauh mana usaha kita ini?”

Airil senyap. Aku tidak memandang mereka tika perbualan saat yang ini. Barangkali Airil menunjukkan reaksi setuju pada wajahnya.


“…berapa ramai yang mendoakan kita dalam musim exam begini, yang kita minta didoakan pula juga ramai. Jangan kita sia-siakan doa mereka semua, kita harus berusaha sedayanya, menghargai doa mereka seiring dengan usaha kita. Kita tinggal usahakan sesuatu dan doa dari kita sendiri…”           

Betapa banyak telah aku sia-siakan doa yang lain buat aku tanpa aku sedari. Doa yang tidak aku selami maknanya. Betapa banyak doa yang tidak aku hadirkan kesungguhan selari denganya. Peringatkan aku ya Allah.


“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” 

( Surah An- Nisa’: 86)

Thursday, March 14, 2013

Travelog Turki#11: Ruang Hafalan Di Masjid Biru


31 Jun 2011..
Dia memimpin bacaan doa selepas mendirikan solat berjemaah.Tertusuk-tusuk hatimendengar untaian-untaian kalimah doa sahabatku. Penuh dengan jiwa doanya. Kerendahan hatinya begitu jelas tampak pada kalimahnya.Kerap sahaja aku mencuri pandangan dia dengan tangannya. Kusyuk sekali. Tadahan tangannya selari dengan kedudukan hatinya, tunduk kepalanya hampir menyentuh hujung jari jemarinya. Kali ini aku takut mahu mencuri lagi. Takut tertangkap. Tersedu-sedu aku dalam sesenyap yang mungkin.
Ya Allah betapaku bersyukur, Kau hadirkan teman musafir di sisiku, dari kalangan orang yang ku kenali, buat menemani pengembaraan rohaniku ini. Masjid Biru inilah, tempat pertama yang amat ingin sekali akuziarahi bila tiba di bumi Uthmaniyyah ini. Hari kedua pengembaraan ini, aku mencapai cita si anak kampung. Dulu pertama kalinya diahadir ke sini, aku kirimkan doa dan bisikan namaku di masjid ini. Agar aku dapat bertandang ke sini, bukan sendirian tapi bersama dengannya.Doanya makbul, SubhanaAllah. Ini anugerah berharga sekali dari Tuhan.
Masjid ini sangat indah, mendalam rasanya rohani yang tersurat kemas. KataKak Ummu,  kali pertama pengembaraannya ke sini, rasa rohani itu kurang mendampinginya. Moga kali ini, ia hadir subur hingga akhir waktu nikmatNya.Usai berdoa, aku memisahkan diri sebentar melihat-lihat keindahan masjid ini, lalu aku duduk di ruang hafalan. Ruang empat segi yang punya tingkap setinggi pintu masjid, terletak di setiap dinding hadapan masjid. Katanya, ini ruang para hafiz bersendirian meluangkan masa bagi menghafal Al Quran tika zaman pemerintahan Uthmaniyyah.
Aku berpuisi sebentar di situ, seusai mengaji beberapa ayat dari Surat CintaNya.  Sambil juga aku menunggu azan Maghrib menggegar Istanbul yang kira-kira menghampiri jam 9 malam. Dia pula, asyik benar melayani beberapa warga Turki yang tertarik dengan kehadirannya ke daerah mereka. Aku tidak mahu menggangu kemanisan siltaurahim itu. Biarkan dia leka dalam dunia rohaninya. Aku  bertemu seorang wanita. Mansura Hassan, dari bumi Kanada. Seorang muslim dari bumi seberang. Mansura sudah beberapa kali dia menziarahi bumi Istanbul kerana Islam yang terpamer semakin membesar penguasaannya. Dia menjemput aku ke Kanada, suatu hari nanti dengan izinNya, aku ingin jejak juga bumi itu.
Benar kerana cinta Allah aku bertemu dengan saudari itu, bermula dari perkenalan dengan Kak Ummu dan membiak kepada perkenalan di hati yang lain bersama cinta Yang Satu. Moga Allah membalas segala kebaikan sahabat inikepadaku malah berlipat ganda dari itu jumlahnya. Ukhuwah itu bisa berjangkit manisnya. Dari satu hati kepada hati yang lain.



SubhanAllah...
Ya Allah..
Tertusuk–tusuk hatiku
Mendengar dengan jiwa
Menghayati kerendahan hati
Doa sahabat tercinta
Bisikannya di masjid BiruMu dulu
Dimakbulkan olehMu kini
Hingga mebawaku ke sini
Duduk disampingnya
Menadah doa kepadaMu
SubhanAllah ya Rabb
Sahabat tercinta
Mendoakan untukku

Jauh sekali kurasa
Nilai-nilai iman doaku buatnya
Mendalam kurasa
Tiap-tiap doanya buatku
Makbulkanlah doanya ya Allah
Syukur yang amat, Yang Maha Agung
Ya Allah
Sahabat suci Kau hadirkan buatku
Doanya agar kuhadir disini dulu
Kini doanya kudengari di sini jua
Lindungilah perjalanan dunia dan akhiratnya
Amiin.. Amiin.. Ya Allah

8.24 pm Masjid Biru

Pengembara

Minum Kopi

Powered by Blogger.