Moga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi..

Tuesday, October 6, 2015

Travelog Singapura #1: Kacukan Dua Negara


Marina Bay Front
Mac 2015

Cuaca masih tidak mahu melepaskan kedinginan. Perasaan sedang mulai merindu salji, sedang musimnya belum pun berakhir. Lalu si musim bunga memujuk musim dingin, “akan ku katakan moga bertemu lagi, bukan selamat tinggal”. Budo Ferry masih rancak lebih dari jadual biasa membawa penumpang pulang pergi dari Istanbul ke Bursa dan sebaliknya, selagi Gunung Ulu masih berselimutkan salji. 

Menyedari, waktu perpisahan bakal berkunjung antara dua warga Nusantara ini, perjalanan feri menuju ke Istanbul dirasakan pendek tempohnya dalam perbualan hangat. Dingin tak terpeduli seketika. “Walaupun, Singapore mempunyai sistem-sistem yang kelihatan rumit buat rakyatnya, akak tetap berbangga menjadi warga Singapore. Ya, negara kelahiran kita, penyokong dan pendokong semua hal kehidupan kita kan?” 

“Emak saya pun macam tu kak. Emak tak mahu menukar warganegara, kerana dia sayang Singapore. Walaupun wang EPF dikembalikan semua, saudara mara tak berapa ramai, sedikit rumit urusan dua negara ni kadang-kadang, emak tak nak. Bagi emak, itulah satu-satunya kenang-kenangan nya yang terbesar. Emak tetap anak Singapura.”

“Macam di Istanbul haritu, ada orang tanya akak “Are you Malaysian?” “I’m Singaporean”. “Same Malysian and Singaporean, both can be..”. “Bukan tidak mahu bersetuju dengan dia, tetapi rasa dimiliki oleh negara sendiri itu berbeza”, tambah Kak Rina. “Kadang, saya juga diteka sebagai warga Indonesia. Saya faham perasaan akak tu.”

“Saya sukakan sistem kebajikan negara akak. Emak saya pernah cerita, contohya, urusan pembelian rumah dan kereta berdasarkan jumlah gaji rakyatnya. Rumah dan kereta sekian-sekian akan dicadangkan mengikut jumlah gaji individu dan per rumah. Bagusnya sistem ini, menunjukkan keseimbangan dalam menjaga kebajikan rakyat. Tidak ada penindasan dari golongan kaya kepada ynag miskin”, saya menyambung perbualan. 

“Ya, dan pelbagai sistem lagi yang perlu rakyat turutkan, terasa kadang-kadang rimas. Tetapi kami faham itu semua untuk kebaikan kami, selari dengan kemajuan pembangunan Singapore”, kak Rina menambah. “Emak saya selalu menanam kebanggaan dalam diri saya, sebagai sebahagian dari negara Singapura juga”. 

Feri menghampiri jeti Kabatas, Istanbul. Cuaca Istanbul sedikit hangat berbanding kota Bursa. Semakin hangat lagi, perpisahan yang bakal berlaku. Kak Rina meneruskan langsung pengembaraannya ke Amsterdam pada lewat petang. Menemani perjalanan tramnya ke hotel di Sultanahmet, sempat membeli sedikit sebanyak manisan Turki. Lokum. 

“Mar, nanti nak jelajah masjid Singapura tu, beritahu akak awal ya. Boleh kita aturkan pertemuan di masjid akak. Kalau boleh jangan datang macam tu saja tanpa beritahu, boleh bersedia apa yang patut”, Kak rina mengingatkan. “InsyAllah kak, terima kasih banyak kak. Moga bertemu lagi”. Pertama kali menerima tetamu Singapura sepanjang bekerja sebagai trip organizer antara Malaysia-Turki ini. Sekaligus menambah pada carta tetamu Nusantara saya, Malaysia, Brunei, Singapura, dan Indonesia.

Penamaan ‘Nusantara’ masih belum berada di kemuncak dunia kan?. Perlu sama-sama mengusahakan rasa memiliki dan berbangga dilabelkan sebagai warga Nusantara atau Sauth-East Asian. Sama kebanggannya menjadi warga seperti Inggeris, Balkan, Arab, Timur Tengah, Tan, Eropah Tengah dan lain-lain. Saya berdarah Singapura dan Malaysia, muslim dari Nusantara, warga benua Asia.

0 diskusi:

Post a Comment

Pengembara

Minum Kopi

Powered by Blogger.