Moga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi..

Showing posts with label Travelog Bintang 28. Show all posts
Showing posts with label Travelog Bintang 28. Show all posts

Wednesday, April 13, 2016

Travelog Bintang 28 #4: Maharani

Aini, Yang, Jawahir, Haezah dan Tang berkumpul di Johor Bahru bagi meraikan seorang sahabat yang berwalimah di bandar Maharani. Tang orang Johor, Haezah pula pelajar master Kelantan yang mengaji di UTM Skudai. Sahabat Jawahir pula orang Pahang yang bermastautin di Pasir Gudang, merupakan ahli kimia yang berkisar tentang pembajaan pokok sawit. Petang itu, mereka bertiga menjemput dua ustazah yang transit di bumi Senai, Johor Bahru.  Ustazah Yang dan Aini, dua sahabat yang terbang dari Sarawak ke Johor Bahru sebelum pulang ke kampung masing-masing di Nogori dan Kelantan; dek kerana cuti sekolah penggal Mac ini. 

Setelah masing-masing tidak berada di bawah sanjungan UTM, dan memiliki urusan kerja dan belajar yang berbeza, pasti kami perlu mengada-adakan waktu khusus untuk bertemu lagi. Alhamdulillah, setelah dua tahun lebih tidak bertemu, walimah Linda menjadi alasan untuk kami sama-sama bertemu di JB semula dan mengembara bersama ke Maharani. 

Harusnya, bermalam di rumah Tang di daerah Pontian setelah menyambut mereka di Johor Bahru. Namun, Jawahir perlu istirehat dan perlukan tempat berbaring yang lebih dekat. Kereta Tang pula merajuk dan segan pula mereka mahu bermalam di Pontian kerana rumah Tang hari itu menyantuni adik-beradiknya yang ramai pulang ke kampung, sebagai persediaan walimah kakak Tang yang mendatang. 

Tang berkeputusan menaiki bas ke UTM dan meminta bantuan Jawahir yang separuh hari bekerja kerana tidak sihat itu, membawa Tang ke Lapangan Terbang Senai. Kami bermalam di bilik Haezah di UTM. MasyAllah, sesungguh Allah Maha Hebat merancang. Cuma mereka berlima tanpa orang lain berbalas khabar dan pelbagai cerita. Rancak yang pelbagai hingga lewat pagi. 

Sebagai ganti, mereka menziarahi rumah Tang untuk menyantuni emak Tang. Itu rumah yang sudah berapa kali mereka kunjungi ketika mereka sama-sama mendapat tarbiyah di bumi Johor. Kopi kampung cap pokok dihidangkan bersama beberapa potong kuih lapis. Oh ada nurget-nurget moden dan beberapa potong kek Sarawak dari ustazah Aini.

Berangkat kami ke Maharani. lagi Sesat dan perjalanan memakan petrol yang banyak. Tersasar jauh ke sempadan daerah Ledang. Cuaca panas dan terik pula mmenghangat dan menghauskan mereka. Tapi, mereka semua memiliki jiwa besar yang pemaaf, belajar dari kesilapan, hargai hikmah sesat, penuh kesabaran dan positif. Kami tiba di halaman majlis walimah dengan senyum puas. 

Bertuah sang pengembara yang memiliki teman kembara yang sebegini. Yang sesat terlihat positif, mereka memandang banyak sisi Muar yang tak terpandang sebelum ini. Ceruk desa demi desa, ladang sawit bertanah gambut, jalan kampung yang bertar ke tanah merah, rumah kayu tradisional Muar hingga ke rumah moden, dan semua itu warna-warni perjalanan mereka. Rezeki Allah berikan sebegini indah. 

Terima kasih sahabat-sahabat yang sudiberetemu dan mengembara di Johor. Sahabat yang baik tidak mengatakan dirinya tidak mempunyai waktu bertemu, tetapi berusaha mengadakan waktu bertemu, sekalipun dalam doa. 
Toleransi. 
Teman kembara yang menjaga hubungan sama Allah serta manusia, 
pasti pengembaraannya menjadi baik. 

Travelmate | Febuari 2016


Sunday, April 10, 2016

Travelog Bintang 28 #3: Tamrin

Tamrin. Tempat penyucian jiwa yang degil. Berjanji-janji mahu berjuang menkhilafahkan negara. Kerana itu, kembali dan kembali yang lebih dari 10 kali. Ataupun kembali ini jadi salah satu perjuangan sebenarnya.  Yang tugas luar tak tergalas, mungkin ini dengan menjadi sebahagian dari tamrin; program membangun jiwa para pejuang. 

Tamrin. Program tarbiyah yang mana sesi-sesi didikan  selalu memukul jiwa yang kering menjadi basah. Menghentak mental yang tandus ilmu jadi ligat menggilai ilmu.  Mengembara ke tamrin ini, selalu menjadi sebuah jihad yang dinanti-nanti. Tamrin bagaikan tempat lahir seorang pejuang. Setelah banyak emmbuat khilaf dan jiwa ketandusan tarbiyah, para pejuang kembali ke sini mengembalikan fitrah perjuangannya. 

Tamrin. Ia memiliki sesi taaruf yang menyelidik diri sendiri, muhasabah yang tak lama tapi menyentuh panjang seluruh kehidupan sejak lahir. Suatu ketika dahulu, sesi ini yang mematahkan kedegilan dalam diri dalam menghayati nilai sejarah dan sirah.  2011, tahun permulaan di mana buku-buku sejarah menjadi kegilaan dan travelog jadi obsesi. Lalu, dengan ini semua, saya mulai faham, bahawa pengembaraan takkan lebih bermakna tanpa ilmu sejarah. Bukan hanya pada ilmu geografi dan falak. 

Tamrin. Pejuang tak mengenal rantai-rantai perjuangannya sebelum ini tanpa ilmu sirah dan sejarah. Apa ertinya perjuangan tanpa mengetahui sejarah perjuangan itu sendiri. Isu terkini pula menjadi satu lagi bab yang perlu dihadam oleh setiap perjuang, masakan tahu rentak perjuangan mendatang tanpa mengetahui masalah persekitaran yang sedang berlangsung. 

Tamrin. Bermusafir ke tamrin menghimpun banyak kesal dan cita yang belum tertunai, Menghayati bait-bait baiah yang pernah berlangsung sendiri antara diri dengan Tuhan.  Walau banyak mana melangkah ke tamrin, harus perbanyak alasan perlu menangkis cabaran. Lalu melangkah pergi mencedok ilmu, menemukan banyak sahabat-sahabat contoh,  Timgkatkan semangat dan kembali bersih sang jiwa pejuang,

Friday, April 8, 2016

Travelog Bintang 28 #2: Delegasi USIM ke Turki

14-20 Febuari 2016 yang lalu, group terakhir iuntuk pengembaraan ke Turki. Tiada lagi group yang mendatang. Cukup. Benar kata adik, smeakin besar perniagaan, semakin besar risiko. Telah banyak menyusahkan orang atas risiko dan krisis ekonomi dek tangan kotor sendiri. 

Tapi, group USIM ini menggugah keputusan untuk berhenti dari melakukan perniagaan travel ini. Seminggu bagaikan sebulan bersama mereka. Mereka adalah 28 orang pelajar dan pengajar dari kursus Multimedia dan Quran di Fakulti Quran dan Sunnah USIM. Ragam mereka banyak multimedianya dari Quran. Terbahak-bahak ketawa, riuh-rendah berborak tak ingat negara, bahagia amat. 

Tapi, dalam hati mereka, Ada jiwa Quran yang amat dicemburui. Kerana itu, terasa keberkahan ketika mengembara bersama mereka. Yang tak cukup, malah menjadi cukup. Rezeki kewangan, makanan dan minuman banyak sekali hingga akhir pertemuan. 

Yang merapatkan kami kerana ukhuwah mereka yang bersulamkan iman. Geram yang berpada, maaf yang dipercepatkan, dan sayang antara insan.  Group USIM, group pelajar paling indah dalam kenangan. Penambahan sahabat-sahabat yang penuh ilmu dunia dan akhirat di dada, Begitu juga, penambahan ilmu yang banyak tika berdampingan  dengan program-program akademik di Turki. 

Belum ada sebelum ini, trip pelajar yang melakasanakan tiga hari program akademik dan berpuasa dari berkeliling Istanbul hingga akhir program, Bersungguh-sungguh mereka menyebarkan ilmu penyampaian dakwah secara multimedia. Kemudian, mereka meraikan kejayaan penganjuran program tersebut dengan mengembara keliling Istanbul pada dua hari yang berbaki. Rasanya tidak cukup jika dua hari saja diperuntukkan buat keliling Istanbul. Allah Maha Pengkabul doa dan Pemberi keberkatan, cukup dan nikmat sekali dua hari itu, dalam senyum berpanjangan dan perjalaanan yang amat memuaskan. Diri merasa keseimbangan pada hak fizikal dan rohani, Mewangi.

MasyAllah, ia trip kesayangan yang membuat fikiran menimbangkan keputusan kembali, Mungkin Allah mahukan trip ilmiah sebegini diteruskan lagi, Sekalipun mahu berhenti, ia bukan berhenti. Tetapi berehat lalu kembali semula dengan penuh semangat. 

Sempat mengambil  berkat di makam sang penerus dakwah Rasulullah saw di bumi Konstantinopel; Sang Abu Ayub Al Ansari sambil menikmati panorama Tanduk Emas. Iaitu di mana peristiwa ajaib, 70 buah kapal sang sultan Al Fateh berlabuh setelah merintangan hamparan berbukit dengan tempoh satu malam sahaja. Berlari ke Sultanahmet, menyaksikan Hagia Sophia yang bersejarah beribu tahun dan menjadi tetamu  Istana Topkapi yang sederhana kehidupan dirajanya, Menyapa sultan demi sultan dari perkarangan Masjid Suleymaniye, Masjid Sehzade, Masjid Sultan Ahmet, Masjid Beyazit II dan Masjid Fatih. Walaupun kawasan makan sedang memulih, rindu tetap berbalas dengan memandang dari jauh buat sang Sultan Muhammad Al Fatih dan Sultan Abdul Hamid II. 

Pengembaraan ini turut menambah keberanian menongkah tanah tinggi, menambah erat silaturahim dan ukhuwah, menambah pengetahuan kehidupan berbudaya bukan Melayu dan bukan bertanahkan Asia, Terlalu  banyak mahu dinukilkan di sini. Mioga tak lupa pada kenangan, tapi terus mewangi nilainya sepanjang usia.

Moga, perniagaan travel ini mampu menyumbangkan sesuatu kepada perjuangan dunia dakwah. Moga semua pengembara menjadi penerus dakwah baginda Rasulullah saw hingga ke para sultan sepertimana Sultan-sultan Uthmaniyyah di Turki. 


Thursday, April 7, 2016

Travelog Bintang 28 #1: Menulis Lagi

Mengemas buku-buku pelbagai genre ke dalam rak buku yang baru hasil dari aturan bebata dan pepapan milik bapak. Termasuk buku-buku hasil tulisan tangan sendiri, ada yang kemas, compang-camping, penuh semangat, penuh geram dan pelbagai cerita. Mereka terbahagi kepada dua; kisah tahunan seorang mahasiswa mulai sekitar tahun 2009, Juga kisah perjalanan anak kampung ke banyak daerah asing. 

Semakin membesar bilangan tahun, semangat pada penyampaian tulisan semakin memudar. Ketawa sendiri membaca travelog sendiri. benar kata orang lama, memori perjalanan tak semua akan melekat di kepala, kalau ada pun tak selengkap yang asal. Dengan menulis, memori berkongsi di lain medium. Baik untuk perkongsian kepada medium yang lebih luas dan baik untuk diri ini
yang tua nanti.

Suka. Lucu. Bahagia membaca kembali kisah perjalanan lalu. kembali menulis ringkas dalam travelog peribadi, Walaupun tak banyak berkongsi di sini, moga suatu hari nanti terkongsi lagi dari penulisan pada buku harian. Semua kisah pengembaraan kecil bagi seorang anak kampung Sanglang; Travelog Bintang 28. 


Hadiah sebuah buku juga hadiah sebuah pengembaraan. 
Begitu juga berkongsi buku dan cerita. 
Cuma cerita tak terbuku lagi, diri sendiri menjadi buku. 
Bintang Husna | 4 Apr 16

Pengembara

Minum Kopi

Powered by Blogger.