Moga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi..

Tuesday, October 6, 2015

Travelog Singapura #2: Tetamu Pekan Sanglang

Sebuah teksi menghampiri halaman rumah. Siapa yang datang sedalam kampung ini kalau bukan tetamu dari daerah asing, atau orang mahu bertanya tentang selok-belok lapisan kampung-kampung di sini.

“Emak! Cik Mahat datang!”. Saya pun turut terkejut. Mahu berkejar ke ruang tamu tapi ada tetamu sedang berhari raya. Teruskan memasak. Tak apa, boleh bersalaman sebentar lagi. Seisi rumah teruja. Sudah lama Cik Mahat tak berkunjung ke kediaman kami.

Masjid Sultan, Kampung Glam
“Lamanya tak datang Mahat”, tanya emak kepada adiknya. “Ada surat tu yang datang tu Kak Sal. Nombor telepon semua tak boleh guna dah”, Cik Sariah mencelah. “Oh dapat duit la ni ya ada surat”, emak ketawa besar. “Budak-budak ni suka tukar nombor, kadang dorang kerja, tak angkat telefon. Tak apalah, kan dah lama tak datang. 3 tahun dah kan?”, ada nada memujuk dalam Bahasa emak. 

“Haah tu yang datang ni. Surat bank belum datang lagi, tapi akan dapat duit, duit kami dah masuk akaun”, Cik Mahat mula bersuara. “Wah dapat duit ni, bonus raya. Berapa haribulan tu, boleh beraya kat Singapore?”. “Hah emak ko laju je bab duit, kalau tak pasal duit pun mak ko tak datang. Dalam 300 dolar”, Cik Sariah mula membuat kecoh. 

Tetamu yang ada turut terlibat dalam perbualan dua beradik ni. Semakin semangat memasak, dalam gelak dari dapur. “Kena tambah ni, Cik Mahat dengan Cik Sariah mesti tidur sini”, saya mencelah gelak si adik. “Emak dapat duit Ja, boleh beraya kat Singapore. Yahoo!”.

“Eh cik, apa khabar cik?” tangan bersalaman. “Baik. Masak apa?” Cik Mahat berbasi-basi. Pakcik yang berat mulut bertanya, memang semangatlah kita nak menjawab. “Sup ayam, cik!”. Senyum. 

Cik Mahat beredar ke ruang tamu lama, ruang kegemarannya. Seterika-seterika tembaga tersusun kemas pada rak kayu, loyang bahulu sedikit berselerak hasil tmabahan loyang yang baru, sudu garpu yang lama masih kemas di dalam botol, botol-botol soda lama pula masih kekal di tempat yang sama dan berbaris pada banyak dinding kayu bersama gelas-gelas sebagai pasangan.

Bersendirian memerhati koleksi barangan antik bapak yang semakin bertambah. Minat yang sama. Mungkin kondisi mereka yang bekerja dalam sistem pembersihan, pencetus kepada minat tersebut. Beberapa tahun lalu, bapak bekerja juga sebagai pengumpul barang-barang terpakai untuk menambah wang sara hidup keluarga, manakala pakcik bekerja sebagai penyapu sampah di negaranya. 

Bak kata mak, gaji tukang sapu pun tinggi di sana, peyumbang terbesar kepada sistem kebersihan Singapura. Maka, mereka menemukan barang antik dalam sela masa bekerja tersebut, termasuk kerajinan mereka ke pasar bundle barangan terpakai dan antik. Koleksi barangan antik sebegini juga adalah pengembaraan luar biasa kepada kenangan dan memori masa lalu. Masa yang banyak mendidik siapa kita pada masa kini. 


0 diskusi:

Post a Comment

Pengembara

Minum Kopi

Powered by Blogger.