Moga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi..

Wednesday, February 27, 2013

Travelog Turki#1: Rindu memanggil-manggil



MEMAKNAKAN HARGA SEBUAH PERJALANAN
30 Jun 2011 hingga 4 September 2011 adalah tempoh perjalanan yang sebentar benar rasanya di bumi Uthmaniyyah. 2 bulan di bumi sebaik baiknya sultan ini, asyik mengundang rindu. Agar diulangi kedatanganku. Bawa bersama yang lain, khabarkan pada dunia, betapa indah mimpi ke bumi itu drealisasikan. Aku tidak pantas mengulanginya apatah lagi membawa yang lain, jika hati ini makin sesak dengan menebalnya rasa bersalah kepada teman-teman. Saban hari hutang ini hadir membuat tinjaun langkah penulisanku. Adakala ada, adakala tidak. Lama sekali ketidak adanya.
            Tapi aku mengetepikan semua itu. Pasang azam, aku akan menulis. Nanti, nanti dan nanti. Penantian menyoal lagi penulisanku, hingga 11 negara telah aku singgahi. Sudah 3 kali persinggahanku ku Turki dihitungkan dalam tempoh 3 kali sejak tempoh 2 bulan yang pertama itu. Makin banyak ku ajukan pengembaraan, makin menebal rasa itu. Pengembaraan demi pengembaraan, makin berat hutang-hutang kubawa bersama. Ia menemani langkah-langkah kaki, petikan-petikan foto juga. Senyuman-senyuman bertukar hambar. Aku harus memaksikan niat, tulis.
            Lalu aku memikirkan sesuatu. Wadah perkongsian yang boleh aku tulis kisah-kisah perjalanan yang ku lalui. Memaknakan pengembaraan dan membayar harga pengembaraan yang sebenar-benarnya. Pengembaraan berkongsi kisah bersama-sama teman sekalian.Bermula dari negara Turki ini. Negara dua benua. Tergenerasinya kekhalifan Islamnya kita dari sini. Tersambung-sambung salur galurnya dari empayar Abbasiyyah.
ROHANI DAN CINTA
            Turki ini negara keempat selepas Singapura, Brunei dan China. Dikuatkan niat untuk hadir ke Turki, lalu aku jatuh cinta tika beradanya aku di sana. Selepas cita-cita dicitakan menjadi nyata. Alhamdulillah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui berapa kali akan ku ulangi ziarah ini. Kerana peluang yang sekali ini, pasti aku ingin sekali memastikan perjalanan ini tidak sia-sia. Harus dipenuhkan ia dengan sebanyak-banyak pengisian. Namun, aku ini sesungguhnya manusia yang lemah, banyak kali terkehel di ruang-ruang Istanbul, di lorong-lorongnya juga banyak kali aku berkhayal di luar kotak permusafiran sendiri.
            Sebelum aku datang, aku dikongsikan bersama erti kerohanian dalam permusafiran. Dari seorang teman kembara, yang turut menyertai perjalanan menuntut ilmu bahasa Turki pada tempoh tersebut.Menyulam perjalanan fizikal itu dengan kerohanian itu membentuk makna pengembaraan yang berbeza dari perjalanan biasa yang memenatkan fizikal tanpa buah fikir dan hati yang mendakap sebati. Kerohanian membuahkan cinta sepanjang jalan, membedil persoalan demi persoalan untuk jawapan yang segera tiap kali melewati pelbagai ruang dan tiang bersejarah, menyemai rindu-rindu yang cepat benar singgah, benih-benih cinta sambung menyambung terus kepada Tuhan yang maha berkuasa atas segala yang terjadi.
            Dari rasa rohani ini, diri membina kekuatan, memujuk hati saat rindu, rebah dan gelisah di daerah asing. Kerana, aku punya teman yang paling  setia tak terbanding, Tuhan yang satu. Bersungguh duhai hati, tak membazir fizikal kerana apa-apa, berbaloinya buat pengisian fikiran dan membesarkan jiwa. Jujurnya, mengambar-gambarkan Istanbul saja sudah membidik keinginan untuk datang. Lalu dibawa anganan jadi nyata. Menjejak Istanbul, kerana waktunya telah tiba. Andai kerohanian itu tertaut lebih awal, pasti terbaca banyak kisah-kisah sejarah yang harus jadi pengajaran dan pelajaran, sebelum bertandangnya diri.
            Bakinya adalah sesi pembelajaran dengan melihat sendiri struktur sejarahnya. Melihat senibina Uthmaniyyah sahaja sudah buat aku diam tak terkata. Sepi dalam bicara dengan Tuhan akan kebesaranNya. Kemudian, terkait satu demi satu sejarah yang berbekal. Rugi tak membawa bekal sejarah, selalu aku kesali perihal bekal ini. Penyesalan ini selalu hadir tika aku berdiri di bumi sejarah itu, pulang darinya langsung sibuk menyelak sumber-sumber yang ada. Bekal perjalanan jangan tertinggal. Satu demi satu senibina diterokai sepuasnya. Hanyut dan makin hanyut dalam cintaNya. Cinta itu, buat aku rasa sebal tak berkongsi dengan teman-teman.
KEBUTUHAN AGAMA DAN TEMAN
            Di pertengahan kurun ke 18, Turki dirobek oleh pemikiran asing. Sekularisme mendominasi pemikiran kerajaan baru. Tetapi, lewat perjalanan aku di sana pada tahun 2011 itu tidak seindah khabar dari rupanyanya. Bumi itu tidak sekular dari pandanganku pada kehidupan rakyatnya. Boleh saja aku alasi, kehidupan Istanbul itu teralir coraknya dari dua benua. Eropah dan Asia. Tanpa aku menggambarkan negara itu dari konteks sekularisme nya.
            Aku sendiri bertambah segan, negara itu begitu kedepan mendepani pelbagai soal dan keperluan agama Islam berbanding negaraku sendiri.Aku sendiri merindui roh Islam yang dizahirkan oleh ragam dan corak kehidupan rakyat Turki tika itu. Beribu-ribu menara masjid beratus tahun  masih setia berdiri teguh mempertahankan cinta Ilahi dalam hamparan pelbagai sejarah keruntuhan dan kebangkitan Islam. Ingin datang lagi. Menguna pakai pula bahasa dan budaya yang diajar kali itu, buat pengembaraan akan datang.
            Pertengahan 2013, aku datang lagi untuk episod seorang pekerja. Tika itu, demonstrasi Taksim, yang hanya sekecil berita tempatan jadi luar biasa gembar gemburnya. Satu dunia jadi tahu. Itu Cuma provokasi dari dunia musuh Islam secara mudahnya. Pekerjaanku tamat di penghujung Ramadhan. Seorang juru pelancong amatur buat warga Malaysia yang berpeluang menziarahi Turki. Lalu ku datang lagi di penghujung 2013, bekerja lagi tetapi Cuma beberapa detik hari sahaja.Cinta makin berkembang. Mana tidak cintanya aku, kota Istanbul yang berwajah dua itu, memliki ramai wanita-wanita yang bertudung. Hasil kebijaksanaan pemimpin  dalam pentadbirannya.
            Episod 2011. Kasih sayang Allah melebihi segalanya. Dia Maha Tahu kerdilnya aku tidak boleh berdiri di kaki sendiri tanpa cahaya Islam di luar kotak kebiasaan. Ketika itu aku tidakbersendirian, Tuhan hadirkan untukku seorangteman dari Malaysia, yakni seorang pelajar yang menuntut ilmu bahasa Turki seperti aku. Teman kembara itu adlaah sahabatku sendiri, Kak Ummu Hazimah. Malah, aku disatukan dengan jemaah Risalah-I Nur, penyambung warisan ilmu  seorang ulama terkemuka yang tarbiahnya hidup bahkan semakin berkembang dari tahun demi tahun. Beliau adalah ulama Bediuzzaman Said Nursi.
            Aku dijaga oleh kota Istanbul seribu menara dan kota sosial Taksim. Dua kota yang berbeza, tetapi perbezaan itu menjadikan aku punya pemikiran dan rohani yang boleh diseimbang tarakan. Hujung mingguku penuh dengan acara rohani dan kekeluargaan, membuang jauh rasa sendirian. Kini aku menyulami kerinduan dengan imbauan-imbauan kenangan, pengalaman dan pengajaran. Hingga aku datang lagi, tahun 2013. 2 kali perhitungan pada tahun yang sama.



“Wherever you are, and whatever you do, be in love”
(Rumi)




0 diskusi:

Post a Comment

Pengembara

Minum Kopi

Powered by Blogger.