Moga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi..

Friday, February 28, 2014

Travelog Turki#16: Pertembungan Aroma Rempah

4 Julai 2011..
MASJID YENI (1957)
            Aku mengisi waktu petang yang panjang hingga lewat jam 8.30 malam itu aku berjalan di sekitar Eminönü bersama kamera Nikon D70 ku. Kembali dari Gebze selepas mengiringi sahabatku dengan pandangan mata ini ke tanah Bursa di sana. Hati masih lemah, merintih kekuatan dari Allah dalam derapan-derapan kaki yang baru bertatih sendiri ini. Sendiri, sepi menghimpit.
            Aku melihat gahnya Masjid Yeni (1957) (Yeni Camii) bersama jirannya Misir Carsisi (1597) atau Bazar Rempah (Eygptian/Spice Bazar). Masjid ini antara masjid yang terkenal dengan keindahannya, di dalamnya ada air terjun yang anggun menghiasi halaman masjid untuk para tetamu Allah berwuduk. Manakala pondok sultan dihiasi dengan jubin yang mengkagumkan dari Iznik.
            Batu-batunya didatangkan dari Pulau Rhodes. Kombinasi batu-btu ini menggamit ketenangan beribadah di dalamnya. Awalnya ia dibina buat isteri Sultan Murad lll iaitu Safiye Sultan.  Ia disiapkan dalam masa 66 tahun oleh 3 arkitek bersilih ganti, kerana kematian Sultan Muda Selim lll dan SultanahSefiye dan wabak epidemik telah tersebar di seluruh Istanbul pada awal pembinaanya. Fakta menarik ini mendorong aku untuk menderapkan kaki menziarahi ketenangan rohaninya pula. Menunaikan solat sebentar, permulaan buat pengembaraanku di tanah Eropah ini sendirian. Itulah hari pertamanya.
SPICE BAZAR
            Melewati kawasan Eminönü, jangan hairan jika aroma rempah menyeruak udara di situ. Aroma itu dari Bazar Rempah yang dibuka mulai jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang pada setiap hari kecuali Ahad. Berjalan di lorong bazar kedua tertua di Istanbul ini seperti melewati silamnya dunia Uthmaniyyah. Senibina dan suasananya begitu membenarkan rasa silam itu. Sejak tahun 1597, bazar ini dipenuhi oleh penjaja rempah. Aroma rempah seperti safron, lada, dan pala, serta warna pasta tomato, kekacang, bijirin-bijirin dan herba-herba bersatu memikat para hadirin hadir menyesakkan bazar itu dari seluruh pelosok dunia.
             Ianya menjadi kewajipan kepada pelancong untuk berkunjung ke sini. Mana tidaknya ianya sebaris dengan populariti Masjid Biru yang namanya tercatat pada setiap gerabak tram dalam bahasa Inggeris berbanding stesen hentian yang lain dan para pedagangnya juga fasih berbahasa Inggeris. Selain itu, buah-buahan kering seperti kurma, plum, kismis dan tin serta  pelbagai jenis teh turut didagangkan disitu. Sibuknya bau aroma-aroma menyorot rongga hidung, para pelancong boleh menyulami aroma itu dengan pelbagai manisan Turki di situ.
            Keluar sedikit ddari kotak bazar berbentuk ‘L’ ini, anda akan menemui lokasi jual beli yang lebih memeriahkan para pengunjung, yakni di balik dinding bazar, di sebelah kanan bazar. Bagi pengunjung yang biasa dengan proses jual beli bazar di Istanbul, pasti mereka mengerti bahawa harga di luar bazar jauh lebih memuaskan pada kadar kualiti dan kuantiti yang sama. Hal sebegini adalah perkara biasa. Dari bazar di luar ini, ia dipenuhi deretan kedai yang menghubungkan Masjid Suleyman dan Masjid Yeni, dan Grand Bazar dan Spice Bazar. Diantara keduanya temapt-tempat ini, wujudnya pasar rakyat kerana suasananya dan harga tempatan ditawarkan. Pelbagai keperluan boleh diperolehi secara borong pada jumlah yang berbeza bergantung kepada perbincangan bersama tuan kedai.
            Berbalik kepada sisi Spice Bazar, aku kerap berbelanja di Kedai Osmanoglu, kerana sebab tersebut dan kemeriahannya menawarkan pelbagai keperluan pengunjung dan pergerakan yang pantas melayani para pengunjung. Di kawasan bazar ini sahaja, sekitar 3 kedai mengemukakan nama yang sama, kerana pemilik juga sama. Boleh jadi atas sebab kesesakan pengunjung, maka tercetus idea untuk membuka kedai tambahan, barangkali juga bakal bertambah lagi berdasarkan tidak menangnya tangan memberi layanan kepada pengunjung.
            Majoriti barang dagangan dijual secara hamparan di kaki-kaki kedai, sama ada di dalam dulang, botol atau bekas-bekas kayu atau plastik berbentuk empat segi. Disusun dengan kemas pada ketinggian yang sama atau bertingkat-tingkat seperti tangga. Bazar ini bukti pertembungan budaya. Siapakah yang berkuasa ke atas pertembungan itu? Siapakah yang mengaturkannya? Pertembungan manusia antara benua tidak berakhir pada zaman Uthmaniyyah, buktinya hingga kini bangunan itu masih menemukan aku dan penduduk dunia yang lain.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.”  
(Surah Ar-Rum: 22)    

0 diskusi:

Post a Comment

Pengembara

Minum Kopi

Powered by Blogger.