Travelog Istanbul #1: Masjid Biru | Bahagian 1
MASJID BIRU
Menara kanan Masjid Biru sedang sakit, lagi ditopang dek besi-besi
-Oktober 2014
-SH, saya mahu ke Masjid Biru. Bawak diri jap.
+Okay, hati-hati.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Stesen Yusufpasha saya tinggalkan. 5 ke 6 stesen tramvay menyapa, maafkan saya walau kalian terbuka menerima saya, Sultanahmet menjadi pilihan kali ini. Mahu menyapa Sang Masjid Biru, titik fitrah kedatangan saya di bumi Istanbul ini dahulu. SH tidak menemani, dia pun tidak mengetahui untuk tujuan apa saya ke dalam dakapan Masjid Biru. Cuma si macho-nya jadi teman bisu, Nikon D90.
Saya berjalan dengan hati yang saratdengan kesedihan dan perasaan bersalah. Sedih, tidak pulang bersama tetamu menerobos awan gemawan petang tadi. Walaupun sudah tahu, itu bukan waktunya untuk kembali. Mencintai kerjaya saya kini sebagai ‘trip organizer’ atau ‘fixer’ terkadang punya jiwa juga ingin kembali pulang. Tidak mahu bersendirian. Walhal, ada ramai juga teman-teman Melayu di sini, terasa seperti ditinggalkan teman-teman Melayu, padahal mereka adalah tetamu. Yang mendatangi dan meninggalkan saya. Mula merindui personaliti para tetamu, keramahan mereka, susah senang bersama mereka, ragam-ragam Melayu dan keinginan Melayu. Pasti mencari nasi di negara orang. Sambal atau menu berperasa sedikit pedas. Umumnya kau merindui tetamu, tapi khususnya kau merindui kampung halaman kan, Bintang?
Kedua kerana perasaan bersalah yang berat. Saya mengheret perasaan itu hingga ke anjung Masjid Biru. Kebosanan sedang sesuka hati beraja dalam jiwa saya. Saya berazam mahu singkirkannya, tapi belum sekental mana azamnya. Bersalah kepada semua tetamu, merasakan tidak adil dalam melayani mereka sebagai tetamu. Mungkin secara fizikalnya, ia tidak kelihatan pada tubuh saya, kerana cuba sekali saya sembunyikan. Menyembunyikan sesuatu yang telah lemah di dalam ini.
….Istanbul adalah ibu kota pemerintahan Uthmaniyyah setelah Edirne dan Bursa…dahulunya adalah Constantinopal. Sultan Muhammad Al Fateh telah membuka kota ini… itulah kubah Hagia Sophia yang mempengaruhi konsep kubah dalam dunia senibina islam… kita perlu memasukinya untuk mengetahui lebih lanjut… Eyub adalah daerah terawal yang dibangunkan oleh kerajaan islam… trip Bosphorus ini akan bermula dari jeti Eminonu ini dan berakhir juga di sini, sekitar 1.5 jam sahaja masa diambil..
Isi-isi sejarah dan ayat-ayat yang hampir sama saya lontarkan, dipukul sama rata untuk semua tetamu saya pada kebanyakkan tempat lawatan. Sudah diset di benak kepala saya. Pengulangan yang telah saya hafali dan kemudian diperceritakan kepada tetamu. Oh begini dan begitu. Begitulah sejarahnya ini dan sejarahnya itu. Pengulangan rutin berlaku hingga satu batu kesedaran terlastik mengena kepala. Engkau tidak mengembangkan apapun dalam diri engkau, cuma pada nokhtah yang sama. Bintang yang sama.
Semisalnya, memasuki Hagia Sophia itu sudah diperhitungkan sekitar 3 atau 4 kali begitu, sejujurnya saya tidak mahu mengakuinya sebagai rasa bosan, bosan yang telah mendakap dan mencengkap tubuh ini. Jauh di lubuk hati, saya merasakan bahawa saya kehilangan sesuatu, keterujaan! Bagaimana saya mahu menghadirkan perasaan teruja seperti yang dimiliki oleh para tamu? Keterujaan yang saya miliki ketika pertama kali menjadi tetamu Hagia Sophia itu? Keterujaan yang sebegitu, saya mengulanginya pada setiap kali bersama tetamu yang bersilih ganti. Pada tiket yang bersilih ganti saya beli. Pada mimbar yang bersilih ganti saya sapa setiap kali bertandang menjadi tetamu.
Keterujaan, datanglah. Semangat ‘trip organizer’ merudum jatuh. Terhempas. Berderai ke lantai anjung Masjid Biru. Lihat bahagian tertinggi masjid ini, menaranya yang enam itu. Tiba-tiba, salah satu menara terhempas ke lantai Izniknya. Bertebaran batu-batu ke banyak belahan mozek gergasinya. Berderai seperti semangatku. Terletak sudah di puncak tertinggi, namun kerana kekentalan jiwanya tak bertahan lalu rebah.
Saya duduk berteleku di anjung masjid. Berbumbungkan langit hitam. Menara-menara masjid jadi tiangnya. Saya selesa duduk di luar, memandang keindahan dewan solat utama dari luaran. Si Biru pun senyum, sedang bahagia menyambut tetamu beribadah di dalamnya dan menghantar senyum kepada mereka yang mahu beredar pergi. Sedikit dingin. Kalau memasuki dewan solat pasti lebih sejuk. Magik. Memasuki sistem masjid itu ternyata merasa panas di dalam ketika dingin di luar berhimpit-himpit ingin menembusi dinding masjid, dan merasa dingin, ketika keluh kesah kepanasan menangis ditinggalkan di luar masjid kerana langit tak berawan.
Bersambung di
Tavelog Istanbul #1: Masjid Biru | Bahagian 2
0 diskusi:
Post a Comment