Moga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi..

Tuesday, January 12, 2016

Travelog Jejak Masjid UK #1: Catitan 24 November

| Sanglang



Lampiran demi lampiran laman web bersilih ganti menarik tumpuan mata. Fikiran semakin melesu. Bahu mula melenguh minta senaman ringan. Rehat. Kondisi meja kerja yang berserakan mungkin mempengaruhi kesungguhan membaca. Bersabar ya meja, sikit lagi akanku kemas kembali keadaanmu. Menarik diri ke ruang tamu, saya memilih untuk menonton televisyen.

Ya Allah, tekadku belum membulat. Semangat belum membesarkan jiwa kembara. Budget perjalanan sering melintasi fikiran, mengapa ia jadi pokok utama. Yakinlah dengan Allah Yang Maha Mendegar, apatah lagi doa-doa. Yang Maha Kuasa atas segala urusan, yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Kau kata kan mahu menjelajah untuk ummah ini? Mahu berkongsikan perjalanan rohani engkau dengan orang lain? Itu kan azam engkau, menginspirasi banyak orang untuk mengrohanikan dan memaknakan tiap pengembaraan mereka? Itu kan sebuah perjuangan murni.

Berdoa lagi, berniat yang baik-baik lagi, Allah sedang aturkan sesuatu secara misteri untuk engkau. Hati memujuk diri. Siaran demi siaran bertkar ganti. ‘Geography Channel People-Bangkok Airport’, mempamerkan salah satu lapangan terbang tersibuk di dunia. ‘Sawadikap’ buat ratusan ribu bangsa saban hari diiringi senyuman manis-manis.

‘Orang British yang angkuh’, sarikata jujur berbaris di ruangan bawah siaran. Apa benar semua orang British terlihat angkuh? Majoriti? Tak semua mereka yang keluar dari negeri sendiri mencerminkan jatidiri negeri. Apa lagi mencerminkan tanah yang lebih besar; negara. Jika benar, bagaimana ya Muslim Eropah menghadam sikap-sikap angkuh dan egois bangsa Inggeris dengan nilai murni akhlak Islam. Dalam menghadam, ada proses sulaman. Sulaman keindahan Islam.

Kedua, langsung saya teringat. DIVA, stesen televisiyen kegemaran saya. Tiap pagi, kami yang berbaki di rumah mengasah kepala dengan rancangan dan program penyiasatan. Entah benar atau salah aksinya dari dunia realiti itu saya menolaknya ke tepi sebentar. Dari Amerika atau Eropah, ia rancangan Inggeris yang jarang sekali mempertontonkan kebaikan Muslim. Bahkan sibuk mempromosikan siapa ‘Terrorist’. Sungguh padahal saya yakin, tidak ada Muslim yang sanggup melakonkan watak sebegitu, pasti agenda lakonan mereka sendiri.

Saya ingin memerhati sejauh mana tanggapan ‘terrorist’ terhadap Muslim di UK. Begitu juga racun ‘Islamiphobia’, bagaimana resapannya? Oh kembali kepada memori sekitar 8 atau 9 tahun lalu. Saya pernah menonton filem Iron Man, terkejut dengan superhero itu yang memberi perlindungan kepada Muslim di salah satu buah negara di Timur Tengah Asia. Bererti, sekali lagi tidak semua mencerminkan asal usul mereka.


0 diskusi:

Post a Comment

Pengembara

Minum Kopi

Powered by Blogger.