Moga sepanjang pengembaraan, rohani mewangi..

Tuesday, January 12, 2016

Travelog Jejak Masjid UK #2: Catitan 24 November II

| SANGLANG

Ketiga, saya ingin memerhati kehidupan negara penjajah yang satu ini. Bangsa yang bertahun-tahun memerangi Muslim di Palestin atas nama agama mereka, Kristian. Agama yang paling saya geruni. Sungguh, memasuki sebuah tokong Budha, dan kuil Hindu atau gereja Ortodhok bukan tidak menggugah iman. Kerana jelas sekali, berhala dan patung menjadi bahan sembahan mereka secara terang-terangan menandakan persekutuan terhadap Allah. 

Tapi, berbeza dengan gereja Khatolik, iman selalu minta untuk mengintai, lalu takut sendiri. Suatu hari, saya dan teman kembara memasuki sebuah gereja di Macau. Cuma kami berdua dan seorang petugas yang ada di dalam gereja tersebut. Tersenyum petugas itu mempelawa kami masuk. Sudah tugas dia menyambut kami baik, kerana gereja-gereja di sini membuka seluas-luasnya ruang kepada para pelancong yang ingin membuat lawatan. 

Nah, lalu saya tahu apa perasaannya. Mula-mula perasaan takut dan seram menyelubungi, tetapi berikutnya ketenangan mengambil alih. Semuanya soal iman dan fahma terhadap ilmu, insyAllah baik-baik saja semuanya. 

Sepanjang kajian dan bacaan, jiwa tersedu-sedan mengagumi Muslim di Barat. Memasuki gereja itu bukan menjadi soal besar, malah hal besar lagi dikagumi adalah dakwah yang terlancar di dalam gereja. Lebih dari itu, Muslim di Tanah Inggeris mengambil alih gereja-gereja yang terbiar, mewangi rohani Islam setelah bertukar menjadi masjid.

Perang I dan II, membawa masuk berbondong-bondong Muslim dari pelbagai negara ke Barat, bertujuan untuk membangun semula insfrastruktur bandar dan kota. Bermula sebagai menjalani tangungjawab kerja dan menunaikan fardu kifayah, dengan sabar dan doa, perkembangan mereka semakin cemerlang berdekad-dekad lamanya. Mereka merintangi ujian dan cabaran membangun Islam secara tersembunyi, sedikit demi sedikit. Kini, terbuka hingga mata dunia turut memberi tumpuan kepada perkembangan Islam di Barat. 

Aku tidak datang ke negaramu sebagai terrorist. Itu nama kau yang dulu, benar kan? Engkau yang merobek tanah airku dan tanah bangsa lain. Tanah-tanah yang luka ini duduk di bawah satu kategori; Komanwel. Engkau merampas hasil bumi kami, mendagang dan meletakkan cukai sesuka hati. Panjang sekali kisah luka-luka ini.

Aku tidak mahu melihat engkau sebagai penjajah lagi. Jika aku tidak begitu, Muslim yang lain melihat engkau pada persepsi yang lain. Kerana itu mereka lebih kehadapan langkahnya, menyayangimu sebagai sebuah wilayah Islam. Mereka menanam benih-benih islam di dada engkau, lama dahulu. Sekarang mereka sedang bekerja keras memetik buahnya, dan kembali menyemai benih dengan lebih banyak.

Aku datang kepadamu duhai Tanah Inggeris, kerana aku ingin berkongsi kebaikan kamu menyantuni Islam, dan menyaksikan persembahan dari perkembangan Islam yang telah kau terima kehadirannya sejak dahulu. Banyak kebaikan engkau yang mahu ku lihat, fikir, rasa dan aplikasi dalam diri ini. Sambutlah kedatanganku, moga baik-baik saja diriku sebagai penerokamu.

“Pada pandangan Barat penjelajahan dan penerokaan yang dilakukan oleh mereka tertumpu kepada tiga aspek besar iaitu tiga G (Gospel, Glory and Gold, yakni, agama, politik dan ekonomi). Matlamat akhir mereka ialah penjajahan ke atas negeri-negeri yang ditaklukinya. Mereka tidak melihat lebih daripada itu kerana tujuan utama mereka ialah untuk mendapatkan kuasa dan keuntungan tanpa menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat setempat. Berbeza dengan konsep penjelajahan dan penerokaan dari persepsi Islam keran matlamat utama mereka adalah menjaga kebajikan dan keadilan sesuai dengan tuntutan ajaran agama Islam itu sendiri. Islam menekankan tiga aspek besar iaitu tiga P (pembebesan, pengislaman dan pengintelekktualan). Pembebasan dari aspek politik, ekonomi dan kebudayaan, manakala pengintelektulan pula terbahagi kepada ilmu astronomi, ilmu geografi dan perubatan.”

Tamadun Islam
Mahayudin Hj. Yahaya, 1988

0 diskusi:

Post a Comment

Pengembara

Minum Kopi

Powered by Blogger.